Permainan tangram merupakan sejenis permainan cantuman yang berasal daripada Negara China. Permainan tangram sesuai digunakan bagi mengajar dua tajuk yang agak rumit dalam matematik iaitu, luas dan perimeter serta bentuk-bentuk 2D. Tangram merupakan kepingan segi empat yang dipotong dalam tujuh bentuk yang dinamakan ‘Tan’.
Proses permainan ini mudah, iaitu hanya mencantum semua bentuk tersebut menjadi satu imej yang penuh. Sebagai penambahbaikan, guru boleh menyediakan imej-imej yang berbeza dalam kepingan tangram. Antara imej yang boleh disertakan adalah wajah orang, haiwan dan benda. Guru juga boleh mempelbagaikan bentuk-bentuk tangram mengikut kreativiti mereka.
![]() |
| Salah satu bentuk tangram yang popular |
Permainan tangram ini merupakan satu permainan berbentuk konkrit yang amat berguna kepada murid. Murid-murid sememangnya mempunyai minat yang mendalam dalam penggunaan bahan konkrit dalam proses pembelajaran. Permainan tangram juga boleh membantu murid meningkatkan kecerdasan ruang-spatial mereka. Menurut Howard Gardner, terdapat lapan kecerdasan pelbagai manusia dan ruangmerupakan salah satu daripadanya. Apabila murid-murid bermain permainan tangram, guru boleh meneliti peringkat kecerdasan ruang murid dan melakukan tindakan susulan yang sesuai. Permainan tangram ini juga dapat membantu kemahiran murid dalam tajuk bentuk dan geometri.
